Isnin, 29 Februari 2016

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 7/2003 :

 KUASA GURU MEROTAN MURID

 Kuasa merotan murid telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan sejak sekian lama. Kuasa merotan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan berasaskan peruntukan yang disediakan dalam PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN (DISIPLIN SEKOLAH) 1959, di bawah ORDINAN PELAJARAN 1957. Dalam PERATURAN 6 dinyatakan dengan jelas bahawa :

 Peraturan 6 :

 Guru Besar sesebuah sekolah boleh dari semasa ke semasa, tertakluk kepada apa-apa syarat dan hal yang difikirkannya patut, mewakilkan kuasa disiplin sekolah dan kuasa menjalankan hukum kepada guru-guru lain di sekolah itu atau kepada murid-murid yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu, tetapi kecuali yang disebut di atas tidak seorang pun guru atau murid boleh menjalankan kuasa itu melainkan dengan arahan tertentu: 

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan berharap kuasa yang diberikan itu digunakan oleh pihak sekolah dengan mematuhi PERATURAN 5 di bawah ordinan yang sama :

Peraturan 5 :

 (1) Bagi maksud menjaga disiplin di kalangan murid-murid, Guru Besar hendaklah mempunyai kuasa menjalankan hukuman-hukuman sekolah yang biasa sebagaimana perlu atau bermanfaat : Dengan syarat bahawa – (a) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang; dan (b) hukuman dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah difahamkan hanya oleh Guru Besar ataupun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu.

(2) Satu rekod mengandungi semua hukuman yang dijalankan di bawah perenggan (1) hendaklah disimpan secara sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh pendaftar. Hukuman yang dikenakan hendaklah direkodkan dengan menyatakan jenis salah laku, bilangan sebatan, bahagian anggota yang dirotan, nama dan tandatangan perotan dan saksi semasa hukuman rotan dilaksanakan. 

(3) Dalam melaksanakan hukuman rotan, pengetua atau guru besar dan guru-guru yang diberikan kuasa hendaklah sentiasa menyedari bahawa merotan adalah sebahagian daripada proses pendidikan. Tindakan yang dikenakan mestilah difahami sebagai alat untuk mendisiplinkan dan bukan sebagai alat yang akan merosakkan fizikal dan mental murid. Guru-guru yang merotan murid bukan berdasarkan rasa marah dan dendam tetapi untuk memberi pengajaran bahawa setiap kesalahan ada hukumannya. Dalam konteks sekolah, merotan hanya sebagai sebahagian daripada proses mendidik terutamanya kepada mereka yang tidak berdisiplin. 

(4). Hukuman rotan di khalayak sama ada di perhimpunan atau di bilik-bilik yang sedang berlangsung proses pengajaran dan pembelajaran adalah dilarang. Tindakan sedemikian akan menjatuhkan maruah serta menimbulkan kesan negatif yang lebih besar terhadap perkembangan keperibadian seorang murid. Bersama-sama surat ini disertakan contoh Surat Penurunan Kuasa Melaksanakan Hukuman Rotan (Lampiran A) sebagai panduan. 





 lampiran A

CONTOH Surat Penurunan Kuasa Melaksanakan Hukuman Rotan

 Nama Sekolah :
 Alamat Sekolah :
Telefon & Faks Sekolah :
_______________________________________________________________________________

 Rujukan Kami :

 Tarikh :


 Nama Guru :
 No. Kad Pengenalan :

 Tuan/Puan, PENURUNAN KUASA MELAKSANAKAN HUKUMAN ROTAN

 Merujuk perkara di atas, dengan ini saya menurunkan kuasa melaksanakan hukuman rotan yang diperuntukkan kepada saya selaku Pengetua/Guru Besar sesuai dengna PERATURAN 6, PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN (DISIPLIN SEKOLAH) 1959, di bawah ORDINAN PELAJARAN 1957 kepada Tuan/Puan mulai ........................ hingga .....................

2. Walau bagaimanapun Tuan/Puan diperingatkan agar dapat mematuhi PERATURAN 5(1)(b), PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN (DISIPLIN SEKOLAH) 1959, di bawah ORDINAN PELAJARAN 1957 berhubung dengan syarat pelaksanaan hukuman rotan yang dinyatakan seperti berikut :

 Peraturan 5(1) (b)

 hukuman dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah difahamkan hanya oleh Guru Besar ataupun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu.

3. Adalah diharapkan hukuman rotan ini hanya dilaksanakan sebagai langkah terakhir dalam usaha mengawal disiplin di kalangan murid-murid.

 Sekian, terima kasih.


 Saya yang menurut perintah,


................................................
 (Nama Pengetua/Guru Besar)

 (Nama Sekolah) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan